Kesusasteraan, falsafah dan kesenian Kebudayaan_Amerika_Syarikat

Jack Kerouac, seorang tokoh Beat Generation dari 1950-an

Pada abad ke-18 dan awal abad ke-19, kesenian dan kesusasteraan AS banyak mendapat ilhamnya dari Eropah. Pengarang terkenal seperti Nathaniel Hawthorne, Edgar Allan Poe, dan Henry David Thoreau telah mewujudkan suara sastera Amerika yang tersendiri pada pertengahan abad ke-19. Mark Twain dan pemuisi Walt Whitman menjadi tokoh penting pada separuh akhir abad ke-19; Emily Dickinson yang tidak berapa terkenal sewaktu hidupnya, kini diiktiraf sebagai pemuisi Amerika yang penting.[21] Karya yang didapati menerapkan aspek-aspek asas pengalaman dan perwatakan kebangsaan—seperti Moby-Dick oleh Herman Melville (1851), The Adventures of Huckleberry Finn oleh Twain (1885), dan The Great Gatsby oleh F. Scott Fitzgerald (1925)—boleh digelar sebagai "Great American Novel."

Sebelas warganegara AS telah meraih Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan, yang terkini ialah Toni Morrison pada tahun 1993. William Faulkner dan Ernest Hemingway sering disebut sebagai pengarang paling berpengaruh pada abad ke-20.[22] Genre-genre sastera popular seperti Western dan hardboiled berkembang di AS. Gerakan penulis Beat Generation membuka pintu kepada pendekatan sastera yang baru, begitu juga dengan pengarang pascamoden seperti John Barth, Thomas Pynchon, dan Don DeLillo.

Gerakan transcendentalisme yang diterajui oleh Thoreau dan Ralph Waldo Emerson, mewujudkan pergerakan falsafah AS utama yang pertama. Selepas Perang Saudara, Charles Sanders Peirce, diikuti William James dan John Dewey, menjadi peneraju perkembangan pragmatisme. Pada abad ke-20, karya-karya W. V. O. Quine dan Richard Rorty yang didasarkan oleh Noam Chomsky, mengetengahkan falsafah analisa dalam bidang akademik AS. John Rawls dan Robert Nozick menerajui kebangkitan falsafah politik.

Dalam bidang seni tampak, Aliran Sungai Hudson ialah sebuah pergerakan tradisi naturalisme ala Eropah pada pertengahan abad ke-19. Hasil lukisan realis dari Thomas Eakins kini disanjungi ramai. Pada tahun 1913, sebuah pameran seni moden Eropah di New York yang bergelar “Armory Show”, mengejutkan orang ramai sambil mentransformasikan persada seni AS.[23] Georgia O'Keeffe, Marsden Hartley, dan lain-lain menguji gaya-gaya baru yang menonjolkan kepekaan yang sangat individualistik. Pergerakan kesenian yang besar-besar seperti ekspresionisme abstrak dari Jackson Pollock dan Willem de Kooning, dan seni pop dari Andy Warhol dan Roy Lichtenstein banyak berkembang di AS. Arus modenisme dan pascamodenisme telah menaikkan nama jurubina Amerika seperti Frank Lloyd Wright, Philip Johnson, dan Frank Gehry.


Antara perintis terkenal teater Amerika ialah P. T. Barnum yang mula menguruskan sebuah kompleks hiburan di Manhattan pada tahun 1841. Gandingan Harrigan dan Hart menerbitkan siri teater komedi muzikal popular di New York mulai akhir 1870-an. Pada akhir abad ke-20, bangkitnya seni muzikal moden di Broadway; lagu-lagu gubahan khas untuk teater muzikal dari Irving Berlin, Cole Porter, Stephen Sondheim dan sebagainya, menjadi asas kepada muzik pop. Dramatis Eugene O'Neill memenangi hadiah kesusasteraan Nobel pada tahun 1936; dramatis-dramatis lain yang tidak kurang hebatnya dari AS termasuk Tennessee Williams, Edward Albee, dan August Wilson yang pernah meraih Hadiah Pulitzer.

Walaupun kurang diberi perhatian sewaktu hidupnya, karya-karya Charles Ives pada 1910-an menjadikan beliau sebagai komposer klasikal utama AS yang pertama, disusuli pula oleh Henry Cowell dan John Cage yang memberikan rasa keamerikaan kepada gubahan klasikal. Aaron Copland dan George Gershwin pula mengembangkan adunan muzik popular dan klasikal. Pereka tari Isadora Duncan dan Martha Graham pula menyumbang kepada penciptaan tarian moden, manakala George Balanchine dan Jerome Robbins menerajui seni balet pada abad ke-20. AS selama ini melahirkan tokoh-tokoh penting dalam seni fotografi, misalnya jurugambar-jurugambar terhebat seperti Alfred Stieglitz, Edward Steichen, dan Ansel Adams. Di AS juga lahirnya inovasi jaluran komik dan buku komik. Adiwira komik yang terunggul, iaitu Superman, turut menjadi ikon Amerika.[24]

Rujukan

WikiPedia: Kebudayaan_Amerika_Syarikat http://www.alexa.com/topsites/countries/US http://www.clearlycultural.com/geert-hofstede-cult... http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1004830 http://www.emarketer.com/Article.aspx?R=1005003 http://www.factmonster.com/sports/olympics/2008/di... http://www.harrisinteractive.com/Insights/HarrisVa... http://www.infoplease.com/ipsa/A0115108.html http://www.infoplease.com/ipsa/A0115207.html http://www.nationmaster.com/graph/med_tel_vie-medi... http://www.suttontrust.com/reports/Intergeneration...